BENARKAH PENULIS DAN SASTERA DI SARAWAK LESU?

on Jumaat, 8 Mei 2009

Sembang sastera di Sarawak FM minggu lalu mengetengah isu ini sebagai melihat pandangan khalayak tentang sastera di Bumi Kenyalang.Menurut pemerhatian, ternyata penulis dan sastera kita tidak lesu. Hal ini jelas dibuktikan melalui karya-karya yang di hantar ke Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak oleh penulis-penulis mapan mahupun amatur. Awang Zaidel Jamil selaku tetamu dalam Sembang Sastera di sarawak FM minggu lalu mendedahkan bahawa ruangan Wadah Bahasa dan Sastera sahaja boleh mengumpul lebih 50 karya dalam masa sebulan.
Walau bagaimanapun,ada sesetengah pihak berpendapat keghairahan bersastera di Sarawak kadangkala terganggu dengan lesunya proses penerbitan yang dikendalikan oleh agensi yang bertanggung jawab, namun, Awang zaidel menafikan perkara tersebut dengan menyatakan, proses untuk menerbitkan sesebuah karya itu bukan mudah. Karya yang dihantar perlu dinilai dari segi kualitinya, etika dan kesesuaian sesebuah kerya tersebut sebelum diterbitkan. Menurut beliau lagi, beberapa elemen lain juga dititikberatkan untuk penerbitan sesebuah karya tersebut.
Dilihat dari tirai kritikan dan ulasan juga memberansangkan dalam dunia sastera kita. Nama-nama seperti Jais Sahok, Abg Patdeli Abg Muhi, mohidin Malek, Zakaria Abdul Manan dan ramai lagi adalah antara pengkritik yang aktif menulis di Bumi Kenyalang ini. Perlu ditekankan bahawa, kritikan dan ulasan itu penting bagi mengangkat sesebuah karya untuk menjadi lebih matang.
Biarpun, penulis dan sastera kita di Sarawak ini segar, namun, promosi masih lagi diperlukan bagi menarik lebih ramai lagi penggemar sastera. Media memainkan peranan penting dalam hal ini. Malangnya, kerancakan sesebuah program sastera itu 'rencat' dengan penglibatan khalayak atau penonton. Yang dimaksudkan di sini, hanyalah 'audien import' dari sekolah-sekolah dan kolej-kolej. Persoalannya, dimanakah penulis-penulis kita sendiri? Kalaupun ada, cuma segelintir sahaja. Inilah masalah yang sering dihadapi oleh hampir setiap majlis sastera tidak kiralah bicara karya, diskusi buku dan seumpamanya.
Kesimpulan dari perbincangan Sembang Sastera malam itu, ternyata penulis kita tidak lesu, cuma ada beberapa elemen lain yang 'melesukan' sastera kita. Kita berharap, elemen-elemen ini dapat ditangani dengan sebijak yang mungkin oleh penggiat sastera kita. Persoalan tentang 'audiens import' pasti akan saya bawa ke laman Sembang Sastera untuk siri yang akan datang untuk diperkatakan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

GAMBAR KOLEKSI

WAJAH-WAJAH DI SARAWAK FM

Mari bergoyang....


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com